PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Rekod Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menunjukkan 70 peratus kakitangan awam yang menduduki Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) pada 2005 lulus.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata 293,432 kakitangan awam atau secara tepat 70.58 peratus daripada 418,072 kakitangan awam yang menduduki peperiksaan itu pada 2005 adalah lulus pada Aras III dan Aras IV.
Cuma 124,640 calon atau 29.42 peratus sahaja gagal, katanya.
Pada 2005, peratus lulus bagi Kumpulan Sokongan II (Gred 1-16) 81.75 peratus, Kumpulan Sokongan I (Gred 17-41) 68.71 peratus dan Kumpulan Profesional dan Pengurusan (Gred 48-54) 87.95 peratus.
"Data tersebut adalah sahih kerana ia diperolehi daripada setiap 719 agensi kerajaan yang menjalankan PTK bagi 272 jenis perkhidmatan," kata Ismail ketika menolak tindakan Cuepacs mempertikaikan mengenai rekod kelulusan JPA itu.
REKOD KELULUSAN
Baru-baru ini, Cuepacs mempertikaikan rekod kelulusan JPA itu kerana mendakwa rekod kesatuan itu menunjukkan kononnya kurang 50 peratus kakitangan awam lulus dan kebanyakannya pula membabitkan kumpulan profesional.
Ismail berkata terdapat peningkatan PTK sejak ia diperkenalkan pada 2003 dengan kadar kelulusan 15 peratus pada 2003 meningkat kepada 65.75 peratus pada 2004. Antara 370,000 dan 400,000 pegawai menduduki PTK setiap tahun.
Peratus kelulusan bagi tahun lepas masih belum diperolehi sepenuhnya setakat ini, katanya.
Ismail menolak tanggapan kononnya PTK "demoralise" semangat kakitangan awam kerana mereka tidak berpeluang menikmati anjakan gaji dan kenaikan pangkat sekiranya gagal peperiksaan tersebut.
"Orang yang rasa demoralise adalah orang yang lemah semangat sahaja," katanya.
Ismail berkata kakitangan awam tidak perlu cepat berputus asa apabila mereka gagal PTK kerana peluang untuk mencuba sentiasa terbuka.
USAH PATAH SEMANGAT
"Mereka mesti mempunyai semangat juang yang tinggi dan tidak mudah mengalah serta berputus asa.
"Tiger Wood pun tak menang semua kejohanan golf yang disertainya. Tetapi setiap kali menang atau kalah, Tiger Wood tetap terus berlatih sehingga berjaya. Begitu juga pemain badminton perseorangan negara Lee Chong Wei," katanya.
Ketua Pengarah itu juga berkata Felda tidak akan diiktiraf dunia sebagai agensi yang berjaya membasmi kemiskinan sekiranya peneroka pelopor di Felda Lurah Bilut dan Felda Taib Andak patah semangat 50 tahun dahulu sekiranya tidak sanggup bersusah-payah membuka tanah rancangan.
"Kalau tak dipecahkan ruyung mana kan nak dapat sagunya. Nak mengurat anak dara orang pun susah. Kita kena ambil hati ibu bapa dan adik-beradiknya sekali," katanya.
Ismail mengulangi kenyataannya bahawa instrumen peperiksaan dan penilaian PTK bukan tertumpu kepada esei atau aneka pilihan sahaja malah penilaian oleh ketua-ketua jabatan boleh dibuat melalui aspek amali, kursus, pemerhatian dan ujian lisan.
Sebagai contoh, katanya, Jabatan Akauntan, Jabatan Penilaian, Jabatan Perancangan Bandar dan Kementerian Kesihatan sudah menggunakan ujian kompetensi profesional masing-masing sebagai PTK mereka.
STRATEGI PERSEDIAAN
Ismail berkata kurang persediaan, strategi persediaan yang tidak betul dan terlalu yakin merupakan punca utama kegagalan kakitangan awam dalam PTK.
"Dalam hal ini, ketua jabatan perlu membantu anak buahnya dengan mewujudkan persediaan yang mencukupi di samping menentukan instrumen penilaian yang sesuai," katanya.
Mengenai rungutan kakitangan yang sudah lama berkhidmat tetapi tidak berpeluang menikmati anjakan gaji dan kenaikan pangkat akibat gagal PTK, Ismail berkata persaingan yang sihat memberi kelebihan kepada pegawai lama kerana mereka memiliki pengalaman dan pendedahan yang luas berbanding pegawai baru.
"PTK tak kira orang lama atau baru...Seniority is less important than meritocracy and performance," katanya.
Dengan memberikan contoh syarikat-syarikat kaitan kerajaan (GLCs) kini dipimpin oleh golongan muda dan pemimpin-pemimpin lama di bank-bank pun terpaksa bersaing dengan pemimpin muda maka kakitangan awam terutama yang sudah lama berkhidmat pun perlu menerima hakikat mereka perlu bersaing dengan golongan muda.
Mengenai permintaan Cuepacs supaya pegawai lama dikecualikan penilaian kompetensi umum, beliau berkata tidak wajar penilaian kompetensi pegawai bagi gred yang sama dibezakan berdasarkan faktor usia kerana semua pegawai diberi peluang dan dinilai atas asas yang sama.
Ketua Pengarah itu berkata majoriti kakitangan awam menerima PTK secara positif dan tidak menolaknya seperti yang didakwa oleh Cuepacs.